Saturday, March 29, 2008

Ucapan Pengerusi Persatuan Penduduk Rumah Teres Seksyen 24 Setia (Mesyuarat Agung Tahunan Ke 3)


Encik Ismail bin Mat
(Pengerusi)

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Syukur alhamdulillah kerana pada tahun ini kita sekali lagi dapat berkumpul untuk sama-sama menjalankan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Penduduk Seksyen 24 Setia, Shah Alam untuk kali yang ke 3 pada hari ini. Mesyuarat Agung Tahunan seperti ini diadakan pada setiap tahun seperti yang tertakluk dalam Perlembagaan Persatuan dan bagi memenuhi peruntukan yang ditetapkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

Persatuan Penduduk Rumah Teres Seksyen 24 Setia ini telah menjangkau 3 tahun dan sepanjang itu, pelbagai aktiviti telah dirancang dan dijalankan oleh Persatuan untuk kebajikan penduduk setempat. Walaupun kita semua, sama ada Ahli Jawatankuasa dan penduduk, masing-masing mempunyai tugas dan tanggungjawab hakiki, namun kesediaan semua untuk sama-sama menyumbang masa, tenaga dan wang ringgit menjadikan Persatuan ini akan terus relevan dan berfungsi untuk semua penduduk.

Saya mewakili semua Ahli Jawatankuasa 2007/2008 mengucapkan terima kasih di atas kerjasama semua penduduk dalam menjayakan pelbagai program yang dijalankan antaranya Sukaneka, Majlis Hari Raya Aidil Fitri, penyempurnaan ibadah Qurban dan gotong-royong untuk majlis kenduri-kendara penduduk setempat. Semoga apa jua aktiviti yang kita jalankan dapat mengeratkan hubungan sesama kita dan mewujudkan kesejahteraan serta keharmonian bersama.

Akhir kata, saya bagi pihak seluruh AJK memohon maaf sekiranya terdapat sebarang kekurangan sepanjang kami menjalankan tanggungjawab untuk tempoh setahun yang lalu. Sekali lagi saya merakamkan penghargaan kepada semua AJK dan seluruh warga Seksyen 24 Setia yang telah banyak bekerjasama dan membantu saya dalam menerajui Persatuan ini. Semoga Allah sentiasa memberkati setiap usaha yang kita lakukan.

Terima kasih dan selamat bersidang. Wassalam.


Yang menjalankan tugas,

ISMAIL BIN MAT
Pengerusi
Persatuan Penduduk Rumah Teres Seksyen 24 Setia
Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

No comments: